Tiga orang pemuda bersedia untuk memetik
mangga di sebuah kebun. Pemilik kebun tersebut tiba bersama peralatan. Dia
meminjamkan sebuah galah yang panjang kepada pemuda pertama. Di hujung galah
terdapat satu linkaran bulat yang diikat bersamanya jaring membentuk serkup.
Untuk dua lagi pemuda yang sedang menantikan peralatan mereka, dipinjamkannya
kayu yang tidaklah panjang mana namun turut mempunyai serkup di hujungnya.
Pemilik kebun itu menyatakan dia akan memberi upah setimpal dengan hasil
pungutan mangga yang diperolehi.
Pemuda pertama memulakan kerja. Dengan mudah
dia menyerkup buah-buah mangga yang bergantungan di pokok-pokok. Pemuda kedua
terpaksa memanjat sedikit bagi membolehkannya memetik kerana ‘galah pendek’
yang diberikan pemilik kebun tadi menyukarkannya untuk memetik mangga semudah
pemuda pertama. Pemuda ketiga turut mencuba, dia terasa susah. Pemuda ketiga
memandang betapa mudahnya pemuda pertama memetik buah-buah mangga tersebut.
Pemuda ketiga itu tidak berpuas hati dan
memaki pemilik kebun yang padanya sengaja mahu menyusahkannya. Dia membuang
galah kontotnya dan berlalu pergi sambil merungut. Dia persoalkan betapa tidak
adilnya pemilik kebun tadi kerana sudah tentulah pemuda pertama dapat mengaut
upah lebih banyak tanpa perlu bersusah payah. Dia rasa dizalimi.
Setelah selesai memungut semua mangga-mangga
maka pemuda pertama dan kedua tadi pun kembali bertemu pemiliknya dengan hasil
pungutan. Pemuda pertama memperoleh lima bakul mangga. Pemuda kedua sekadar
memperoleh tiga bakul.
Pemilik kebun memberikan pemuda pertama
upahnya. Dia kemudian menghulurkan pemuda kedua upahnya. Pemuda kedua terkejut
melihat upahnya sama dengan pemuda pertama sekalipun jumlah pungutan berlainan.
Rupanya pemilik kebun yang sangat pengasih dan pemurah itu memberi pemuda kedua
lebih sedikit upah kerana mengambil kira kesusahan tambahan yang dirasai pemuda
kedua berbanding pemuda pertama.
PEMUDA KETIGA YANG KALAH
Pemuda ketiga itu adalah gambaran orang yang
tewas kerana kesusahan yang menimpa dirinya. Dia melihat orang yang lebih
senang daripadanya dan menjadikan apa dilihat itu sebagai lesennya untuk
merungut merasa sangat susah. Walhal pemilik kebun itu merupakan seorang yang
sangat pengasih dan penyayang. Masakan dia tidak akan mengambil kira kesusahan
yang dilalui lalu tiada upah lebih akan diberi.
Sekiranya ramai orang yang senang hidupnya
bisa tewas dengan sikap tidak bersyukur, orang yang ditimpa kesusahan pula
lazim tewas kerana merungut tentang kesusahannya. Lebih dasyat jika diletakkan
Tuhan di kandang tertuduh kerana menjadikan nasibnya susah. Tidak akan mampu
terlepas daripada kedua-dua kekalahan besar itu melainkan apabila ia faham
tentang fungsinya diciptakan dan faham adanya kehidupan selepas mati.
Perlunya kewujudan alam selepas mati bagi
menjustifikasikan keadilan. Seorang pembunuh yang menamatkan ribuan nyawa
tidaklah adil sekiranya nyawanya hanya ditamatkan sekali. Keadilan dirasakan
tercapai hanya apabila nyawanya ditamatkan beribu kali sesuai dengan
kesalahannya. Maka ini hanya dapat dicapai pada hari pembalasan, pada kehidupan
selepas mati dan bukan di alam ini.
Atas dasar keadilan dan sifat pemurah Tuhan
juga, maka sesiapa yang telah bersusah-susah untuk patuh pada Tuhannya ketika
di dunia, Tuhan Maha Pemurah ingin memberi balasan nikmat yang infiniti pada
merek a. Nikmat infiniti yang ingin Pencipta alam ini kurniakan mustahil boleh
wujud di dalam dimensi ini yang segalanya tidak kekal. Maka sekali lagi, alam
selepas kematian perlu untuk itu.
Bicara tentang fungsi.
Pencipta sudah menjelaskan siapa kita dalam
firman-Nya yang masyhur tentang tujuan diciptakan manusia. Allah Subhanau wa
Ta’ala berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. [az-Zariyat 51:56]
Jelas manusia hanya hamba. Hamba yang
melalui ujian-ujian untuk tunduk, patuh dan berserah diri kepada Penciptanya.
Dewan ujiannya adalah di dunia ini ketika manusia itu hidup.‘Passing mark’nya
pula adalah kesabaran dan berserah diri kepada Penciptanya. Semua telah
‘dibocorkan’ oleh Allah Subhana wa Ta’ala di dalam firmannya:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu
dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan
berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan
berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang
apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya
kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [al-Baqarah
2:155-156]
Tubuh badan, keluarga, kesihatan, nyawa,
segalanya hanya pinjaman untuk melalui ujian yang akan memberikan ‘markah’
sebagai bekalan berjumpa Pemilik alam ini. Kehilangan ahli keluarga, kesihatan,
harta dan sebagainya bukanlah bererti kita kehilangan sesuatu milik kita,
tetapi kita cuma kehilangan pinjaman yang diberikan!
Setiap individu mungkin memperoleh pinjaman
yang berbeza-beza kuantiti atau kualitinya untuk melalui ujian di dunia.
Seperti juga galah yang dipinjamkan dalam cerita tiga pemuda pemetik mangga
diatas. Seseorang mungkin diuji dengan kesihatan yang baik untuk melihat sejauh
mana ia bersyukur dengan kesihatan itu dan menggunakannya untuk kebaikan
sejagat. Ada pula yang mungkin diuji dengan penyakit kronik. Untuk melihat
sejauh mana ia akan bersyukur dan bersabar.
Allah tidak memberati seseorang melainkan
apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]
Mungkin ada perkara yang kelihatan sebagai
kelebihan bagi mereka yang sihat tubuh badan. Sedar atau tidak, ada juga ruang
ganjaran yang tidak mampu diperolehi oleh orang sihat tetapi orang yang tidak
sihat mampu menggapainya.
BAGAIMANA IBADAT SI MISKIN MAMPU SETANDING
SI KAYA?
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh,
katanya:
Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka bekata: “Orang-orang kaya
sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan kekal abadi.” Tanya Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wassalam: “Kenapa begitu?” Jawab mereka, “Mereka solat
seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak
dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak (mampu)
memerdekakan hamba. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sukakah
kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat memperoleh pahala
orang-orang terdahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? dan
tidak ada yang lebih utama daripada kamu melainkan orang yang mengamalkan
seperti amalanmu” Mereka menjawab: “Baiklah, wahai Rasulullah.” Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hendaklah kamu bertasbih, bertakbir dan
bertahmid selepas solat 33 kali.” Berkata Abu Shalih: Orang-orang miskin dari
kaum Muhajirin kembali kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan
berkata: “Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan, maka
mereka melakukan hal yang serupa.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya” [Sahih Muslim – no: 595]
Dalam menghuraikan maksud dan faedah-faedah
hadis di atas, ulamak memberikan pelbagai interpretasi. Antara interpretasinya
adalah bahawa sebenarnya setiap pihak di dalam hadis tersebut mempunyai
kelebihan. Yang kaya dengan kelebihan amalan yang disebutkan di atas, ibadah
bersifat harta dan tentu sekali disertakan dengan ujian kesyukuran. Yang miskin
pula dengan kelebihan menjadi sebab terdedahnya amalan penuh berkat tersebut
kerana mereka bertanya. Bukankah bagi mereka yang memulakan kebaikan, dia
memperoleh pahala amalan tersebut dan pahala orang yang mencontohinya? Seperti
sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah
yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti
pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal
itu) sedikit pun. [Sahih Muslim – no: 1017]
Dan tentu sekali kemiskinan mereka itu
disertai dengan ujian kesabaran terhadap kesukaran hidup. Kedua kelompok
mempunyai kelebihan dan ujian mereka tersendiri.
Begitulah Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa
adil. Setiap manusia tidak kira apapun keadaan mereka sentiasa ada ruang untuk
mencapai redha-Nya dan memperoleh ganjaran terbaik buat akhirat
Kita bukanlah dizalimi sekiranya dihinggapi
penyakit kronik, miskin, kurang upaya dan sebagainya. Tetapi sebenarnya diuji.
Dan dalam ujian berat itu ada ruang yang boleh kita gunakan untuk menggapai
redha Tuhan. Yang mungkin ruang tersebut tak mampu ditemui orang yang tidak
ditimpa masalah seperti kita.
No comments:
Post a Comment