Monday, 2 September 2013

Kisah Benar

Pada suatu hari, sebuah keluarga telah pergi berkelah ditepi pantai.Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya-raya;ada tauke balak,tauke minyak, tauke minyak sawit, tauke emas dan macam-macam lagi.Sebenarnya, kehidupan keluarga ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam diTurki.

Mereka mula bertelagah sesama sendiri.Abang-abang yang kaya-raya itu mula melupakan adik-adik mereka yang miskin.Ketika mereka berkelah, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan dirogol,dicabul dengan kejam. Perlakuan itu dilakukan oleh pendatang haram yang sangat kejam. Perlakuan ini dilakukan dihadapan abang-abang mereka dan juga dihadapan pengunjung yang ada disitu. Adik-adik yang lemah itu hanya melihat dengan penuh kesayuan manakala abang-abang yang kuat itu melihat dengan penuh keseronokan sambil makan makanan dan minuman yang lazat-lazat. Tidak lama selepas itu,seorang adik lelaki pula lemas dihanyut ombak.Salah seorang adik yang lain cuba menyelamatkan adik yang lemas tetapi dihalang oleh abang mereka sambil berkata; “Kita bawa berbincang dulu, jangan terburu-buru,bahaya!”.

Disaat adik perempuan itu diratah penuh nafsu dan ketika adik lelaki yang sedang kelemasan di tengah lautan, abang-abang mengajak duduk berbincang sambil menikmati hidangan yang lazat.Abang sulung selaku pengerusi majlis berkata; “tajuk persidangan kita hari ini adalah ‘cara-cara menyelamatkan adik perempun yang dirogol dan adik lelaki yang sedang kelemasan”.Adik-adik yang berdarah muda itu ingin menyelamatkan adik lelaki dan perempuan tetepi masih dihalang abang yang tidak berhati perut sambil berkata;“Inilah orang muda,suka ikut perasaan.Kita ambil jalan diplomasi”.Akhirnya, seorang abang dengan perasaan takut pergi berjumpa pendatang itu dan berkata “Ini resolusi kami.Jangan rogol adik kami.Kita buat gencatan nafsu”,katanya.Pencabulan terhadap adik mereka masih berterusan sambil disaksikan oleh abang-abang itu.Seorang daripada adik mereka cuba mendapatkan bot untuk menyelamatkan adik lelaki yang kelemasan tetapi dihalang oleh abang mereka.”Hoi,abang tak guna!Tepilah!”, jerit adik yang tidak puas hati.Bagi si abang,adik-adik hanya merosakkan keadaan adik-adik ditakutkan dan dikenakan Akta I.S.A. [Ikut Suka Aku] malah adik perempuan pula ditakut-takutkan akan hilang kehormatannya.Kali ini mereka mengadakan mesyuarat kononnya tergempar.Kali ini mereka sepakat.Mereka membuat kain rentang panjang yang tertulis ‘Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan merogol adik kami!’.Kain rentang satu lagi tertulis ‘Selamatkan adik kami yang sedang kelemasan!’.Mereka memasang kain rentang tersebut dengan harapan ada yang akan menolong.

Adik perempuan mereka masih dicabul. Pakaian adik mereka sudah tiada lagi ditubuh,mahkota daranya sudah dirampas.Adik lelaki mereka yang tadinya kelihatan, kini seolah-olah hampir mati.Mereka mengangkat kain rentang sambil menjerit meminta tolong.Bila melihat kain rentang itu tidak berkesan, mereka membuat pula kain rentang yang lebih cantik besar dan panjang.Adik perempuan masih dinodai manakala adik lelaki pula hanya menunggu Malaikat Maut mengambil nyawa.Pegawai polis yang ada disitu hanya melihat insiden tersebut sambil ketawa. Adik-adik yang lain pula bermesyuarat dan hanya melihat dengan penuh kesayuan.Sehingga kini,pendatang tersebut semakin bermaharajalela.Sekarang, adik yang lain pula ditakut-takutkan dan diugut supaya menyokong mereka. Itulah kisah benar sebuah keluarga besar yang goyah.

*adik perempuan itu bernama Palestin
*adik lelaki bernama Iraq
*abang-abang itu adalah negara Arab yang kaya
*ayah mereka ialah sistem Khilafah
*adik-adik yang senyap itu adalah negara-negara Islam
*adik yang berdarah muda itu adalah gerakan Islam
*mesyuarat itu adalah mesyuarat OIC
*pengunjung yang hanya melihat perlakuan itu ialah umat Islam
*pegawai polis pula ialah pihak PBB

Masihkah kita tidak kisah?
L

Lelaki Beriman

Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
 Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah...buat selamanya

Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujud ku

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"
Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.
Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."
Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.
Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.
Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.
Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"
Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."
Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"
Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.
Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"
Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."
Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.
Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.
Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.
Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.
Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.
Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...
Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.
Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

Wednesday, 22 May 2013

Madu, Mangkuk dan Rambut


Pada suatu hari, Nabi Muhammad S.A.W bersama para sahabat iaitu Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman mengunjungi rumah Ali bin Abi Talib. Isteri Ali, iaitu puteri Nabi bernama Fatimah menghidangkan madu yang dimasukkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik. Di dalam mangkuk itu, ternyata ada sehelai rambut.

Melihat rambut itu, Nabi meminta para sahabatnya membuat satu perbandingan menggunakan tiga barang yang berada di hadapan mereka iaitu mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut.

Abu Bakar memberikan perumpamaanya "Iman lebih cantik daripada mangkuk yg cntik, org yg beriman lebih manis drpd madu ini dan mempertahankan iman adalah lebih susah drpd meniti sehelai rambut”. Perumpamaan Abu Bakar itu mengandungi makna yg mendalam perihal iman.

Tidak lama kemudian, Umar pula menyumbangkan fikirannya, "Kerajaan ini lebih cantik drpd mangkuk yg cntik ini, seorg raja yang adil itu lebih manis drpd madu ini dan memerintah dgn adil adalah lebih sukar drpd meniti sehelai rambut". Berbeza drpd Abu Bakar, Umar menggunakan kepemimpinan yang adil dalam perumpamaan.

Seterusnya, Uthman bin Affan pula memberikan pendapatnya iaitu, "Ilmu itu lebih cntik drpd mangkuk yg cntik ini, org yg menuntut ilmu itu lebih manis drpd madu itu dan beramal dengan ilmu yg dimiliki itu lebih sukar drpd meniti sehelai rambut".

Lantas apa pula kata Saidina Ali sebagai tuan rumah? Ternyata Ali menggunakan para tetamunya sebagai bandingan. Ali berkata, "Tetamu itu lebih cntik drpd mangkuk yg cntik ini, menjamu tetamu itu lebih manis drpd madu ini dan menyenangkan hati tetamu sehingga dia pulang ke rumahnya adalah lebih sukar drpd meniti sehelai rambut."

Fatimah juga turut memberikan pendapatnya, "Seseorang wanita itu lebih cntik drpd mangkuk yg cantik ini, wanita yg menutup auratnya lebih manis drpd madu dan mencari wanita yg tidak pernah dilihat oleh orang lain kecuali muhrimnya lebih sukar drpd meniti sehelai rambut."

Nabi Muhammad gembira mendengar perumpamaaan-perumpamaan drpd para sahabatnya dan puterinya tentang tiga hal itu. Akhirnya Rasulullah pula memberikan pendapatnya..."Seorang yg memperoleh taufik dan beramal dengannya lebih cantik drpd mangkuk yg cntik ini. Beramal dgn amalan yg baik itu lebih manis drpd madu dan melaksanakn dgn ikhlas lebih sukar drpd meniti sehelai rambut."

Tiba-tiba muncul Malaikat Jibrail dan dia berkata, "Menegakkan tiang agama itu lebih cantik drpd sebuah mangkuk yg cntik, menyerahkan diri, harta dan waktu bagi mengembangkan agama itu lebih manis drpd madu dan memepertahankan agama sehingga ke akhir hayat lebih sukar drpd meniti sehelai rambut".

Allah pula berfirman "SyurgaKu lebih cntik drpd mangkuk yg cntik itu, nikmat syurgaKu lebih manis drpd madu dan jalan menuju ke syurgaKu lebih sukar drpd meniti sehelai rambut."

<Petikan drpd buku "Andai Syurga dan Neraka Tidak Ada.">

Wednesday, 10 April 2013

"MANUSIA BERHADAPAN DENGAN ENAM PERSIMPANGAN"



Assalamualaikum...




Abu Bakar r.a. berkata, " Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu
di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar
tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa
mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya
memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh mengajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk
Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah
mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan
jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah
akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya.
Siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya.
Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilanglah dari dirinya semua kejahatan dan ia
memperolehi semua kebaikan."

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah
sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

wassalam;


Bila hati dikotori, bisikannya bukan lagi kebenaran...



Islam is the way of life...  

Ujar Saidina Umar Al-Khatab:
"Tidak akan kamu berasa gundah walau sekali,
jika kamu tahu apa yang dicari."

Friday, 11 January 2013

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS



Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahwa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis. Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap emapt, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu." Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku." Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."
Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya." Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah." Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."


"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka.

Hal ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud :

 "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

Monday, 7 January 2013

'abang..tunggu mak di syurga ya...'


Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
 26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi Abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi Abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan Abang semakin kritikal. Perut Abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' Abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "Insya-Allah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. Jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah. Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi. 
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu adasurprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr. Adura rajin menulis mengenai kisah abang di dalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? Nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!" 
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! Kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
 Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli Syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan, kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segala-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
Sebuah kisah benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Friday, 4 January 2013

WARKAH untuk HAWA

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,
Andai engkau belum berkahwin jangan kau risau jodohmu, ingatlah Hawa janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam dan sekaligus disusuli dengan pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannnya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta kemampuannya mengoncang iman lelaki. Tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting pegangan agamanya.

Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangat kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik- beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

Hawa,
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.

Doa untuk Kekasih



Ya Allah.... Seandainya telah engkau catatkan... Dia milikku tercipta buatku... Satukanlah hatinya dengan hatiku... Titipkanlah kebahagian antara kami.... agar kemesraan itu abadi... Dan ya Allah... ya tuhanku yang maha mengasihi... Seiringkanlah kami melayari hidup ini... Ketepian yang sejahtera dan abadi...

Tetapi ya Allah... Seandainya telah engkau takdirkan.... dia bukan miliku... Bawalah ia jauh dari pandanganku.... Luputkanlah ia dari ingatanku... Dan peliharalah aku dari kekecewaan....

Serta ya Allah ya tuhanku yang maha mengerti.... Berikanlah aku kekuatan... Melontar bayangannya jauh ke dada langit... Hilang bersama senja nan merah.. agarku bisa bahagia... Walaupun tanpa bersama dengannya...

Dan ya Allah yang tercinta... Gantillah yang telah hilang.... Tumbuhkanlah kembali yang telah patah... Walaupun tidak sama dengan dirinya...

Ya Allah ya tuhanku... Pasrahkanlah aku dengan takdirmu... Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan... Adalah yang terbaik buat ku.... kerana engkau maha mengetahui... Segala yang terbaik buat hamba Mu ini...

Ya Allah... Cukuplah engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku... Di dunia dan di akhirat... Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini... Jangan engkau biarkan aku sendirian... Di dunia ini mahupun di akhirat... Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran... Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman... Supaya aku dan dia sama2 dapat membina Kesejahteraan hidup... Ke jalan yang Engkau redhai... dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh....

Amin.. Ya Rabbal A'lamin. .



DIPOTONG TANGAN KERANA MEMBERI SEDEKAH



Dikisahkan bahwa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik saja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahwa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahwa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.

 Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."