Lagu 'Sephia' nyanyian Sheila On 7 berkumandang di radio ERA pada petang itu. Lina yang sedang asyik membaca majalah REMAJA terhenti bacaannya. Dia segera bangun untuk menguatkan suara radio. Ketika dia ingin baring semula di kerusi panjang, Lina terpandang akan ibunya yang baru balik dari pekan. Segera disambutnya barang-barang yang dibawa oleh Puan Zaleha lalu diletakkan berhampiran meja kecil di situ sebelum dia menghilangkan diri ke dapur. Puan Zaleha duduk melepaskan lelah. Peluh yang mengalir di dahinya dikesat dengan selendang yang baru dibuka. Lina muncul semula dengan menatang dua biji gelas berisi air oren.
"Kak Long mana
mak?" Lina mencapai kembali majalah kesayangannya itu.
"Dalam
bilik…..menyalin pakaian agaknya." Balas Puan Zaleha. Gelas air
dicapainya. Lega rasanya bila air oren yang sejuk itu membasahi tekak.
"Lina, mak
nak cakap sikit," Puan Zaleha memecahkan kesunyian. Lina segera berpaling
ke arah ibunya. Radio kecil yang terletak di atas televisyen dimatikan.
"Ada apa
mak?" Wajah ibunya ditatap dengan penuh kasih sayang.
"Begini
Lina….., sudah dua minggu lebih kamu berada di rumah ini. Sementara menunggu
keputusan peperiksaan akhir dan mendapat tawaran kerja, elok rasanya kamu
bekerja mencari pengalaman. Mak bukannya apa, kalau kamu asyik duduk di rumah,
buang masa pula. Apa kata kalau kamu memohon jawatan sebagai guru sandaran di
sekolah di kampung ini. Boleh juga kamu berbakti kepada anak-anak
kampung." Penuh diplomasi suara Puan Zaleha ketika mengemukakan cadangan.
"Apa? Jadi
cikgu?????? Eeeeiiii, tak sangguplah mak. Leceh!!"
Puan
Zaleha ketawa kecil melihat mimik muka Lina. Beliau yang baru bersara dari
jawatan guru 2 tahun yang lalu amat memahami perangai anaknya yang ini. Lina
kasar orangnya dan agak panas baran, berbeza benar dengan perangai Liza yang
lemah lembut dan penyayang.
"Belum cuba
belum tahu Lina. Tengok mak… sudah 30 tahun berkhidmat sebagai guru… bukannya
susah sangat," Puan Zaleha memujuk.
"Iyalah
Lina… kamu boleh ganti Kak Long. Kak Long dijangka bersalin lagi 2 minggu.
Kalau ada masalah, boleh kamu rujuk pada Kak Long. Alaaaah Lina... budak darjah
3, tak susahlah. Lagipun, anak murid Kak Long semuanya baik-baik belaka. Hmmm…
ajar Bahasa Melayu… kacanglah…" Liza yang muncul dari biliknya menyampuk
perbualan. Perlahan sahaja dia duduk di kerusi sambil menampan perutnya yang
membusung. Lina mencebik bibirnya.
"Betul tu Lina…
esok kamu pergi Pejabat Pendidikan Daerah. Kamu isi borang dan tunggu panggilan
temuduga. Mudah saja prosedurnya. Dapat juga duit poket untuk kamu
berbelanja," Puan Zaleha menambah.
"Cuba saja Lina. Dua bulan tak lama. Kamu cuma isi masa terluang sementara
nak dapat kerja tetap. Eh, jadi cikgu besar pahalanya tau," Liza memberi
semangat. Lina memandang wajah penuh harapan kakak dan ibunya. Dia mengangguk
lemah……
**********************************************************
Dada Lina berdebar-debar ketika kereta yang dipandu oleh ayahnya memasuki perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Damai. Perasaannya berbaur. Cemas, takut, gementar, semuanya ada.
Dada Lina berdebar-debar ketika kereta yang dipandu oleh ayahnya memasuki perkarangan Sekolah Kebangsaan Seri Damai. Perasaannya berbaur. Cemas, takut, gementar, semuanya ada.
"Selamat
mengajar," ayah memberi kata semangat sebelum pulang. Adik bongsunya,
Asmira yang belajar di tahun 6 menemaninya ke pejabat sekolah sebelum dia ke
kelas. Lina melemparkan senyuman kepada setiap kakitangan yang ditemui.
"Kkrrriiiiiiiiiiiiiiggggg"
Loceng sekolah berbunyi. Agak lama juga Lina berurusan di pejabat sekolah. Setelah
berjumpa dengan Guru Besar, dia berurusan pula dengan Penolong Kanan. Lina
kemudiannya diberi buku ringkasan mengajar dan beberapa keping borang yang
perlu diisi oleh kerani. Setelah selesai, Lina segera ke kelas 3 Pintar untuk
memulakan pengajaran pertama.
"Bangun
semua" ketua darjah segera memberikan arahan sebaik sahaja Lina melangkah
masuk ke kelas.
"Assalamualaikum cikgu" Lantang suaranya diikuti oleh 34 orang murid
kelas 3 Pintar. Bergema seketika kelas itu. Suatu perasaan halus menyelubungi
Lina apabila mendengar kalimat "cikgu".
"Duduk
semua." Lina meletakkan buku yang dikendongnya di atas meja. Sebuah buku
rekod kedatangan murid tersedia di atas meja.
"Murid-murid semua, nama cikgu ialah Norazlina bt Samsudin. Kamu boleh
panggil cikgu, Cikgu Lina. Mulai hari ini cikgu akan menggantikan guru kelas
kamu, Cikgu Norliza yang cuti bersalin selama 2 bulan." Wajah-wajah comel
di hadapannya ditatap.
"Pertama
sekali, cikgu nak berkenalan dengan kamu semua. Kita mulakan dengan pelajar
yang duduk di tepi tingkap berhampiran pintu. Siapa nama kamu, adik
manis?"
Pelajar itu tersipu malu. " Nama saya Siti Aishah, cikgu". Seorang
demi seorang pelajar kelas 3 Pintar bangun memperkenalkan diri. Anas, Badrul,
Syafiq, Nani, Fazlin, Aimi, Irfan, Safwan, Azizi, Atikah, Salwa, Azwin, Fairus
dan bermacam-macam nama lagi yang didengarnya. Ianya mungkin mengambil masa
beberapa hari untuk Lina mengingati nama-nama mereka. Sepanjang hari itu Lina
hanya berkenalan dengan murid-muridnya. Walaupun baru sehari Lina bersua muka
namun suatu perasaan halus muncul dalam dirinya.
*******************************************************
Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, sudah hampir satu bulan Lina menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Seri Damai. Pelbagai peristiwa pahit manis yang telah dialaminya. Entah bagaiman, sepanjang tempoh satu bulan itu, belum sekali pun Lina naik angin. Segala masalah yang timbul dapat diatasinya dengan penuh diplomasi. Apa yang pasti, Lina mula mencintai kerjaya barunya.
Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, sudah hampir satu bulan Lina menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Seri Damai. Pelbagai peristiwa pahit manis yang telah dialaminya. Entah bagaiman, sepanjang tempoh satu bulan itu, belum sekali pun Lina naik angin. Segala masalah yang timbul dapat diatasinya dengan penuh diplomasi. Apa yang pasti, Lina mula mencintai kerjaya barunya.
"Cikgu,
Safwan kacau saya," terdengar suara Aishah mengadu.
"Safwan,
kalau betul kamu nak mengurat, tunggulah bila dah kerja…sekarang ni masa untuk
belajar," seloroh Lina. Murid-murid 3 Pintar ketawa geli hati. Safwan dan
Aishah tersipu malu.
"Cikgu,
Badrul dengan Taufik bergaduh!! Taufik tumbuk Badrul," nyaring sekali
suara Azwin melaporkan. Lina mengeluh.
"Taufik,
Badrul, mari sini sayang." Keduanya segera ke hadapan kelas. Badrul
menahan tangis.
"Hah,
kenapa bergaduh? Tak elok gaduh-gaduh ni. Dalam satu kelas, kita mesti
bermuafakat. Sudahlah… berdamai semula. Senyum… ok... salam…" dan keduanya
berbaik kembali. Sememangnya hati anak-anak ini lembut, mudah menurut kata dan
boleh dilentur.
Begitulah antara
kenangan mengajar yang tidak dapat dilupakan oleh Lina. Pelbagai peristiwa yang
mencabar harus dihadapi setiap hari namun suatu peristiwa itu tidak mungkin
dapat dilupainya sampai bila-bila.
************************************************
"Murid-murid, hari ini kita akan belajar mengarang. Tajuk untuk hari ini ialah ' Ibu Saya' atau 'Bapa Saya'. Boleh semua?"
"Bolehhhh
cikgu" sambut mereka dengan girang.
"Cikgu, nak
tulis apa?" Irfan yang petah bersuara bertanya.
"Emm….kamu
boleh tulis nama dia, perkerjaannya, tempat kerja…"
"Kalau
tulis kegemaran dia boleh tak, cikgu?" Fazlin memotong percakapan Lina.
"Boleh
sayang. Kamu boleh tulis apa sahaja pasal ayah atau ibu kamu," lembut
suara Lina menerangkan.
"Ok,
mulakan sekarang ya, murid-murid". Lina mundar-mandir di dalam kelas bagi
meneliti hasil kerja murid-muridnya. Dalam keasyikan mereka mengarang, Lina
terpandang akan Salwa yang masih termenung. Pelajar comel bertocang dua itu segera
dihampirinya.
"Hai Salwa,
boleh cikgu bantu?" Walaupun tiada sebarang jawapan yang diterima, Lina
tetap setia menanti di sebelah. Ditariknya kerusi kosong berhampiran tempat itu
lalu dia melabuhkan punggungnya.
Gelagat Salwa
yang pendiam pada hari itu begitu membingungkan Lina. Selalunya Salwa adalah
antara pelajar yang agak aktif di dalam kelas. Walaupun pelbagai soalan yang
ditanya, Salwa tetap membatukan diri. Lina tidak dapat menahan sabar.
Mulutnya terlancar memarahi Salwa dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba, Lina
terpandang setitis air mata yang mengalir di pipi Salwa yang akhirnya turun
bagaikan juraian mutiara. Belum sempat ditanya, loceng pulang berbunyi dan
Salwa terus keluar tanpa mengucapkan salam.
Sudah dua hari
Salwa tidak hadir ke sekolah. Hati Lina mula gelisah. Ketika sesi persekolahan
berakhir sekolah lelaki yang berusia lewat 20-an menanti Lina di luar
kelas.
"Cikgu
Lina, nama saya Azhar, waris kepada Salwa." Hati Lina berdetik. Begitu
muda lelaki ini kerana mempunyai anak yang berusia 9 tahun. Dia mempersilakan
lelaki itu duduk di salah sebuah kerusi di kelas itu.
"Begini
cikgu, Salwa tidak mahu datang ke sekolah. Dua hari yang lalu dia pulang dengan
mata yang bengkak kerana menangis. Katanya cikgu telah memarahinya di depan
kawan-kawan. Dia malu." Encik Azhar memulakan perbualan.
"Hmm… Salwa
itu manja agaknya. Baru sedikit dimarahi sudah tidak mahu datang ke sekolah.
Itulah dia ibu bapa zaman moden, terlalu memanjakan anak, begitulah jadinya,"
Lina membebel kecil.
Encik Azhar
sedikit tersentak. Dia membetulkan duduknya. " Err … maaf cikgu, mungkin
cikgu sedikit terkasar dengannya. Sebenarnya Salwa itu sensitif orangnya. Hmm…
mungkin sebab dia rasa kehilangan."
"Kehilangan?" Wajah Lina dipenuhi tanda tanya.
"Ya cikgu.
Kedua ibu bapa Salwa telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya 3
tahun yang lalu manakala Salwa sendiri telah mengalami kecederaan yang agak
parah. Kini, Salwa tinggal bersama saya dan neneknya. Sejak itulah Salwa
berubah sikap. Dia sunyi agaknya. Maklumlah, saya sendiri selalu 'out-station'."
Bicara Encik Azhar benar-benar menyentuh hati Lina.
"Errr tak
mengapalah. Katakan pada Salwa, Cikgu Lina tidak marah lagi. Dia tidak perlu
menyiapkan karangan itu. Saya minta maaf Encik Azhar. Saya tak tahu."
Perlahan benar suara Lina.
***************************************************
Sambutan Hari Guru peringkat sekolah begitu meriah. Lina begitu seronok meraikannya. Nyanyian lagu 'Kami Guru Malaysia' dan sajak 'Guru Oh Guru' dihayatinya dengan penuh perasaan. Persembahan daripada pasukan koir sekolah tidak kurang hebatnya. Hati Lina tersentuh mendengar lirik lagu yang berbunyi,
"Guruku… engkau ibarat lilin,
membakar dirimu, untuk insan lain
untuk insan lain….
Jasamu guru tidak kulupakan…
Kan kuabadikan di jiwa raga
Anak muridmu gembira selalu
Buat hatimu, riang tak tentu
Maafkan daku atas silapku
Buat hatimu berduka selalu"
Benarlah kata pepatah, 'Tak kenal maka tak cinta'. Sesungguhnya pada hari itu di dalam jiwa Lina telah tertanam kasih yang mendalam terhadap profession guru.
"Cikgu, Salwa beli hadiah ini istimewa untuk cikgu. Pak su Azhar yang tolong pilihkan," bicara tulus pelajar itu begitu mencuit hati. Terngiang-ngiang lagi permintaannya yang satu itu, "Mak Salwa dah mati. Boleh tak cikgu jadi mak Salwa?" Lina terkejut besar. Masakan dalam usia 23 tahun, dia memiliki anak sebesar itu. Memikirkan perasaan anak kecil yang ketandusan kasih, Lina mengiyakan sahaja. Betapa girangnya anak comel itu lantas Lina dipeluk dan diciumnya sepuas hati. Lina berasa sungguh terharu.
************************************************
Akhirnya, tempoh mengajar selama hampir dua bulan di Sekolah Kebangsaan Seri Damai tamat jua. Hari yang pada mulanya begitu dinanti bertukar menjadi hari yang begitu memilukan. Lambaian perpisahan daripada murid-muridnya mengharukannya. Pelbagai kotak hadiah tanda ingatan dari mereka diterimanya dengan perasaan bercampur baur. 'Agaknya begini perasaan emak ketika mahu bersara dahulu,' bisik Lina di dalam hati.
****************************************************
Walaupun baru seminggu tugasannya sebagai guru sandaran berakhir, Lina sudah tidak senang duduk. Setiap masa wajah-wajah comel murid-muridnya terbayang di mata. Gelagat dan tingkah laku mereka membuatkan Lina kerinduan yang amat sangat, Akhirnya setelah puas memendam rasa, suatu hari Lina berterus-terang dengan ibunya.
"Mak, Lina
rasa nak ambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di maktablah," perlahan
benar suaranya ketika meluahkan apa yang terpendam.
Puan Zaleha
menatap wajah anaknya dengan perasaan was-was. "Tapi Lina, dulu di
universiti, bukankah Lina ambil jurusan Perakaunan? Boleh ke nak jadi cikgu
sepenuh masa?"
"Mak, Lina
rasa Lina sudah jatuh cinta dengan kerjaya sebagai seorang guru.
Terngiang-ngiang di telinga suara manja mereka mak. Lina tak kisah walaupun
cita-cita asal Lina untuk menjadi akauntan terkubur," tegas sekali suaranya.
Puan Zaleha terdiam tanpa kata.
No comments:
Post a Comment