Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila
pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua
orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan
sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ,
tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Cubalah tangkap dan
pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda –
warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian
lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan
menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk
dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.
Rama-rama ibarat
wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada
tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada
apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.
Begitulah wanita. Ia
bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak
itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna
dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala
dia didampingi oleh suaminya.
Rama-rama terpaksa
berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada
kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu.
Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah
tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.
Sulitnya untuk
akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk.
Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat
menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa
bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk
sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda
digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka
yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari
ini. Anda tidak muncul
sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.
Usah jadi
rama-rama yang di dalam bingkai gambar – indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban.
Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni
yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana
anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik
sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah
kehilangan masa depan.
Kalaulah rama-rama
tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak
mudah-mudah terbang ke sana
sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada
bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi
sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran
terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai
bahaya.
Mahalkan
harga diri anda. Semakin sukar anda
dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan
kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda.
Usah terperangkap ke
dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna-warna
itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah
diri, anda akan lebih dihormati.
Nilai
anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi
berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada
kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya
anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.
Jadilah
rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.
No comments:
Post a Comment